Tamar Jalis akan memeriahkan suasana Malam Menghirup Puisi Merdeka pada 10 September 2011 jam 8.30 malam bertempat di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Perak. Tamar akan menerima salam perkenalan daripada para peminatnya pada malam tersebut. Oleh yang demikian kepada semua peminatnya yang ingin mengenali lebih dekat' siapa dia Tamar Jalis - Penulis cerita seram tersohor di Malaysia bolehlah datang beramai-ramai pada malam tersebut. Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) telah digarap oleh Tamar Jalis dalam 284 siri bersamaan dengan 23 tahun 6 bulan adalah merupakan satu rekod Malaysia dan kemungkinan juga diklaskan sebagai rekod dunia. Cerita seram yang ditulis oleh Tamar Jalis lebih hebat daripada karya JK Rowling menerusi Harry Potter.
Pada 20 Jun 2011 sewaktu diadakan Wacana SBDJ anjuran Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, DBP Wilayah Utara dan Yayasan Perak; Kerajaan Perak telah mengiktiraf SBDJ sebagai karya ulung sekaligus dijadikan khazanah Negeri kerana ia ditulis oleh anak Perak selain cerita SBDJ banyak terakam di negeri itu. Justeru itu dalam program "Pekan Budaya Perak" yang bakal diadakan pada Disember nanti selama seminggu, akan dimasukkan satu slot mengenai SBDJ iaitu Sketsa SBDJ karya Zabidin Hj Ismail dan dilakonkan oleh artis Badan Budaya Perak pimpinan Rashidi Abdul Kharis.
Sementara itu, Nafiela Books akan mempamer dan menjual SBDJ cetakan terbaharu di gerai khas semasa program tersebut berlangsung. Para peminat SBDJ boleh mendapatkan cetakan terkini jilid 1 hingga 5 pada malam itu. (Nota: sebuah jilid novel SBDJ mengandungi 24 siri).
oleh M Zaki Arif